Wednesday, January 14, 2009

Haji Hadi kalah kalau orangnya menang!

1. Dari rentak perjalanan kempen Pilihanraya Kecil (PK) Kuala Terengganu, nampak gayanya ada chan besar UMNO kalah dan PAS menang. Tidak faktor lain, tapi faktor calon. Kata pengundi dan orang-orang yang berkempen, orang KT kata calon BN sombong, calon BN orang KJ dan calon BN ketepikan Aruah Dato’ Razali masa hidup beliau.

2. Betul atau tidak bukan hak saya untuk mengubah persepsi pengundi. Cuma dalam posting saya yang lepas saya meminta orang-orang KT supaya melihat PK kali ini sebagai satu suara protes dan laungan kemarahan terhadap ahli-ahli politik, badan-badan ugama dan individu-individu bukan Islam dan bukan Melayu supaya jangan sewenang-wenangnya mempertikaikan Islam dan Melayu.

3. Mesej dalam artikel lepas ingin saya sampaikan pada mereka-mereka di atas pagar dan yang lembut PAS. Kata sahabat saya orang PAS Kelantan, orang-orang PAS mahupun UMNO Terengganu lebih hardcore dari mereka yang di Kelantan. Kalau orang-orang UMNO dan PAS di Kelantan boleh duduk semeja bertepuk-bertampar atas dasar kito oghe kelate, orang-orang Terengganu berbeza sangat. Kata sahabat saya, penyokong parti di Terengganu jauh lebih keras dan kuat emosi kepartiannya. Tapi jika kita lihat Terengganu telah menukar pemerintahan dua kali dalam tiga Pilihanraya Umum lepas. Dari UMNO kepada PAS lalu UMNO semula. Ini bermakna ramai pengundi Terengganu adalah pengundi-berdasarkan-isu, iaitu jenis pengundi yang sofistikated sekali. Mereka bersedia menerima dan menimbangkan isu sebelum membuat keputusan. Dengan kata lain, pengundi Terengganu sebenarnya sudah lama jadi pengundi yang bijak, membuat keputusan berasaskan penilaian dan bukan emosi.

4. Atas dasar itu saya memohon pengundi-pengundi KT supaya memikirkan dan membincangkan apa yang ingin saya utarakan ini untuk penilaian masing-masing.

5. Umum tahu tentang kewujudan pertentangan pendapat dan pendekatan antara apa yang dipanggil kumpulan Terengganu dan kumpulan Erdogan dalam PAS. Saya tidak suka gelaran kumpulan Erdogan ini kerana langsung tidak kena-mengena tapi saya guna jugalah sebab ini nama yang sudah diterima ramai. Secara ringkasnya, kumpulan Erdogan ini ialah mereka yang menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim dan apa sahaja yang dirancang dan dibawa oleh Pakatan Rakyat pusat. Persoalannya, apakah apa yang dirancang Pakatan Rakyat pusat itu bagus atau tidak untuk orang Islam? Siapa yang duduk dalam Pakatan Rakyat pusat? Di pihak PAS, sudah tentu ada TG Hj Hadi sendiri, serta juga Ustaz Nasharuddin selaku Timbalan Presiden untuk menegakkan dasar dan prinsip PAS. Tapi mampukah mereka untuk menentang dasar yang cukup bertentangan dan cukup jelik yang dibawa oleh Karpal Singh, oleh Hindraf, oleh Lim Kit Siang, oleh Teresa Kok.

6. Kalau cukup kuat kenapakah dengan selamba badaknya Karpal Singh tanpa berlapik sentiasa menyatakan penentangannya terhadap hudud. Malah hari ini sekali lagi The Star memetik beliau berkata demikian bawah tajuk ‘DAP will pull out if hudud laws implemented’. Kata beliau ini soal prinsip, soal parti. Maka apa jadi dengan PAS? Di mana sensitiviti beliau kepada orang PAS dan orang Islam yang mengundi Pakatan Rakyat? Di mana hormat beliau terhadap agama rasmi, terhadap rakan-rakan beliau yang beragama Islam, terhadap DYMM Yang DiPertuan Agung sebagai Ketua Agama Islam dan lain-lain.

7. Apa saja yang dibuat oleh PAS yang selari dengan perjuangan PAS seperti membantah konsert, atau membantah acara street dance menyambut Tahun baru, dikatakan kolot dan tak selari dan mengganggu hak asasi mereka sebagai rakyat Malaysia. Bila Ustaz Salehin Mukhyi menentang konsert Ella masa 100 hari Pakatan Rakyat Selangor, berbondong-bondong blog DAP termasuk pemimpinnya dan comment-comment mengata beliau bodoh. Banyak juga yang menghina habis2an Islam. Tak percaya check lah sendiri arkib internet melalui Google. Sama juga, bila Zulkefli Noordin dan Salahuddin Ayub turun ke Bar Council membantah hal orang bukan Islam nak membincangkan isu murtad, dicaci-maki mereka Zulkefli Noordin ini, disuruh mereka Anwar pecat beliau serta-merta. Eh, bila pulak orang kafir jadi Tuan boleh suruh macam tu pasal hal-hal agama Allah!

8. Cakaplah hal apa pun. Hal arak di Shah Alam. Hal pendirian PAS Selangor tentang PKNS dan CEO Cina. Hal konsert tunjuk ponggong di Shah Alam yang menyebabkan kesemua pimpina PAS rasa terhina, hingga ramai yang datang dari jauh balik tang-tang tu juga.

9. Dengan kata lain, masalahnya ialah Pakatan Rakyat itu sendiri! Dan ini bukan TG Hj Hadi tak tau, bukan Ustad Nasha tak tau bukan Cikgu Pa tak tau! Dari mula lagi depa dah tau. Dan sebab depa tahulah maka Ayah Chik, Ustad Nasha dan Cikgu Pa antara orang-orang yang di hadapan mahu berbincang dengan UMNO sedikit sebanyak tentang isu-isu Islam dan Melayu. Dan ini pun diperlekehkan, dibuat seolah-olah Hj Hadi ini kampung sangat, dipaparkan seolah-olah Cikgu Pa ni jahat sangat. Termasuk di antaranya ialah Malaysiakini dan RPK! Tak tahukah mereka yang kedua-dua TG Hj Hadi dan Cikgu Pa sentiasa di pentas antarabangsa membincangkan masalah Islam antarabangsa sedang mereka sibuk memperjuangkan isu cauvinis Cina dan memperjuangkan komunis!

10. Eh tolonglah. Orang-orang dalam kumpulan Erdogan ini saya tak tahu apa masalah mereka. Kata mereka, biar kita berkawan dengan DAP supaya kita boleh mudah berdakwah dengan mereka. Habis, kalau sebelum ni tak boleh berdakwahkah? Kena duduk satu parti (PR) kah baru boleh berdakwah? Dan sebenarnya siapa sudah dakwah dengan siapa? Rasa saya, merekalah yang telah berjaya mendakwahkan orang PAS dam pemimpin PAS supaya jadi kurang sikit keIslamannya, kurang sikit takutnya pada Allah, dan lebih sikit takutnya pada kuasa undi di tangan manusia.

11. Kumpulan Erdogan juga mengagung-agungkan DSAI. Saya tidak mahu kutuk DSAI, tapi ada 2 perkara tentang DSAI yang saya risau dan mahu orang KT dan orang PAS fikirkan. Pertama, dia baik dengan Paul Wolfowitz, yang di tangannya bermandi darah rakyat Afghanistan, Iraq dan Palestin. Kalau saya mati hidup balik pun dapat lapan ratus billion pun tak mahu saya duduk semeja bergelak ketawa dengan Wolfowitz ini. Namun cerita Wolfowitz dan Kristian Zionis ini kemudian akan saya ceritakan. Yang kedua perancangannya untuk menarik masuk ahli-ahli Parlimen bukan Islam menjadi majoriti membentuk kerajaan. Sehingga lah digagalkan oleh TGHH sendiri yang memberi amaran PAS tidak akan bekerjasama jika Islam bukan majoriti! Cakap macam tu pun kena bedal juga dengan puak-puak anti-Islam!

12. Tuan-tuan dan puan-puan pengundi KT.
Memang YB Mohd Abdul Wahid Endut orang TGHH. Tapi bukankah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat sekarang seolah-olah bermakna anda bersetuju dengan jalan yang PAS sedang ambil sekarang ini, sedangkan TGHH, Ustaz Nasha dan Cikgu Pa sendiri sangat berhati-hati dan sangat curiga dengan jalan yang sedang diambil. Apakah tidak lebih baik PAS kalah, dan dalam post-mortem dan perbincangan selepas tamat Pilihanraya Kecil ini rakyat Islam KT khabarkan kepada PAS yang mereka tidak undi PAS sebab tidak setuju dengan jalan yang sedang PAS ambil, yang mereka sebagai wakil orang-orang Islam di Malaysia mahu kumpulan Erdogan dan kumpulan TGHH duduk semula bincang semula isu Pakatan Rakyat ini. Sebarkan pada satu Malaysia, satu dunia, supaya puak-puak anti Islam tahu yang orang Islam biasa, bukan ahli politik, tak mahu Islam dilekehkan.

13. Sebaliknya, kalau YB Mohd Abdul Wahid Endut menang, maka akan terbuktilah teori kumpulan Erdogan bahawa kapal Pakatan Rakyat itu kapal yang terbaik, walaupun dengan naik kapal itu kita kena korbankan cita-cita mahukan kehidupan Islam yang sebenar! Dan tersungkurlah pendekatan kumpulan Terengganu yang mahukan pendekatan berpada-pada dan lebih tegas tanpa mengikut telunjuk sesiapa. Itulah saya kata, Ayah Chik kalah kalau calonnya menang!

14. Ingat tuan-tuan dan puan-puan. Kita orang Islam di Malaysia selama ini berada di atas. Dan semasa kita di atas lah kita patut sentiasa tegas mempertahankan kedudukan kita. Jangan sampai kita jadi macam orang Islam Palestin, berjuang bila di bawah. Alangkah bagusnya kalau di tahun 1948 dulu jika mereka dan umat Islam sekalian menentang dan berperang sepenuhnya melawan negara Israel yang mahu ditubuhkan. Sudah tentu hari ini tidak begini. Sejarah sentiasa berulang-ulang. Jangan biarkan sejarah yang itu berulang di bumi yang ini.

2 comments:

  1. "...Karpal Singh, oleh Hindraf, oleh Lim Kit Siang, oleh Teresa Kok...."

    Mereka tidak pernah menjadi sahabat sepertiduran atau sepermandian kita.

    Kita merapatkan diri kita kepada mereka semata-mata atas dasar "dekatilah musuh lebih dekat dari sahabat demi langkah dan pencak tari silat".

    Salam perkenalan.

    ReplyDelete
  2. Salam perkenalan kembali Dal.

    Ini bukan cerita "sahabat sepermandian" atau "sepertiduran" mahupun dasar "dekatilah musuh lebih dekat dari sahabat demi langkah dan pencak tari silat".

    Apa makna itu semua? Kata-kata yang takda makna.

    Apa yang kita mahu tangani ialah realiti. Realitinya, PAS beralah atau berundur hingga menggadaikan prinsip. Itu yang saya nampak.

    ReplyDelete